JESUS SEBAGAI ANAK TUHAN


Masalah “Anak”

Perkataan “anak Tuhan” tidak membawa maksud seseorang itu betul-betul anak kepada Tuhan. Perkataan ini digunakan oleh umat Yahudi kepada orang-orang yang soleh dalam hal-hal keagamaan terutamanya para nabi dan ulama-ulama Yahudi. Sebab itu kita dapati banyak sekali manusia selain Jesus yang dipanggil juga anak Tuhan.

Firman Tuhan:

"Israel (Nabi Yaakub) adalah anak-Ku, anak-Ku yang sulung"

(Keluaran 4:22)

Nabi Yaakub juga anak Tuhan, mengapa dia tidak dianggap Tuhan juga? Mengapa dia tidak termasuk ke dalam triniti? Bahkan dia anak Tuhan yang sulung! Jesus anak Tuhan yang ke berapa?

"Sebab aku telah menjadi bapa Israil, Efraim adalah anak sulungKu"

(Jeremiah/ Yeremia 31: 9)

Efraim juga anak Tuhan? Malah anak Tuhan yang sulung? Siapa sebenarnya anak Tuhan yang sulung? Israel atau Efraim?

"Adam adalah anak Allah"

(Lukas 3:38)

Nabi Adam juga anak Tuhan. Bukankah dia yang lahir dulu? Mengapa dia bukan anak sulung?

"Dialah (Nabi Sulaiman) yang akan mendirikan rumah bagi nama-Ku dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya untuk selama-lamanya. Aku akan menjadi Bapanya, dan dia akan menjadi anakku".

(Samuel 2 7:13-14)

Nabi Sulaiman juga anak Tuhan.

"Orang yang dipimpin oleh Roh Suci adalah anak-anak Allah."

(Rom 8:14)

Jelas, yang dimaksudkan dengan anak Tuhan adalah orang yang soleh seperti para nabi. Ini untuk menunjukkan betapa dekatnya mereka dengan Tuhan.

"Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberi-Nya hak menjadi anak Allah."

(Yohanes 1:12)

Sesiapa sahaja boleh menjadi anak Tuhan asalkan beriman dan beramal soleh.

Sokongan Perjanjian Akhir-Al Quran:

“dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas, semuanya termasuk orang-orang yang soleh.”

(Surah Al-An’am: 85)

"Ketahuilah bahawa Allah Bapa amat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah... Kita sekarang anak-anak Allah..."

(Yohanes 3:1-2 )

Sesiapa yang dikasihi Allah, maka mereka itu dikira sebagai anak-anak Allah. Jesus dikasihi Allah, sebab itulah dinamakan dia anak Tuhan.

"Pada waktu bintang fajar bersorak bersama-sama, dan semua anak Allah bersorak-sorai"

(Ayub 38:7)

“Berbahagialah segala orang yang mendamaikan orang, kerana mereka itu akan disebut Anak-anak Tuhan.”

(Matius 5:9)

Ayat ini menunjukkan bukan Jesus sahaja yang menjadi Anak Tuhan, tetapi sesiapa saja yang melakukan perdamaian di atas muka bumi ini juga layak menjadi Anak Tuhan.

“Supaya kamu (murid-murid Jesus) menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga…”

(Matius 5:45)

Menurut Jesus, apabila murid-muridnya menjadi manusia yang taat maka mereka juga akan menjadi anak-anak Tuhan. Perkataan ‘Anak Tuhan’ menunjukkan seseorang yang terikat dengan peraturan-peraturan Tuhan sebagaimana ‘Anak Kapal’, bukan kapal itu yang beranak tetapi maksudnya ialah orang-orang yang terikat dengan peraturan kapal tersebut. Begitu juga dengan Anak Sekolah, Anak Dunia, Anak Silat, Anak Kota dan sebagainya. Adakah kita mengatakan sekolah, silat dan kota itu beranak? Tentu tidak!

"Perkembangan terpenting sejak 1986 mengenai hal ini adalah penemuan gelaran "Anak Tuhan" dalam salah satu manuskrip papirus Qumran (Skrol Laut Mati) yang digunakan terhadap seseorang selain daripada Jesus... ini hanya menguatkan lagi hujah bahawa gelaran Anak Tuhan di dalam masyarakat Yahudi pada abad pertama sama sekali tidak sama seperti serupa dengan Tuhan sendiri."

(Pendahuluan "For Christ's Sake", m.s. xii oleh Tom Harper)

Sokongan Perjanjian Terakhir:

Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar, hampir-hampir pecah langit kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak. Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.

( Surah Maryam :88)


Masalah “Bapa”

Bapa adalah Allah, iaitu satu-satunya Tuhan sebenar yang mesti disembah dan diperTuhankan.

"Jesus berkata kepada mereka, "Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi aku kerana aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendakku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus aku"."

(Yohanes 8:42)

Bapa adalah Tuhan yang sebenar, yang sepatutnya disembah, yang namanya Allah. Ayat di atas lebih mudah difahami jika ia berbunyi begini: “Kalau benarlah Allah itu TUHAN kamu, pasti kamu akan mengasihi aku sebab aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendakku sendiri, tetapi ALLAHlah yang mengutus aku.”

Ternyata para hawari Jesus memang mengasihinya, maka Allah juga adalah Bapa kepada mereka- mereka juga anak-anak Tuhan seperti Jesus.

Kata Jesus:

“Dan janganlah kamu menyebut sesiapapun Bapa di bumi ini, kerana ada satu sahaja Bapamu, iaitu Dia yang di syurga.”

(Matius 23:9)

Awal-awal lagi sebahagian besar umat Kristian tersilap kerana memanggil para paderi mereka “Father” atau “Bapa”.

Jika Jesus 100% Tuhan, tentu tidak salah memanggil dirinya Bapa kerana dia dan Bapa satu peribadi. Mengapa tidak dibenarkan memanggil dirinya atau orang lain sebagai Bapa? Kerana dia dan manusia lain bukan Bapa, bukan Tuhan yang sebenar.

Dimanakah Bapa itu tinggal? Di syurga. Kalau benar Bapa itu Jesus 100%, bagaimana Dia berada di syurga sedangkan Jesus yang Bapa 100% berada di bumi?

Sokongan The Last Testament:

‘Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-Tuhan selain Allah sudah tentulah dua-duanya (langit dan bumi) itu telah rosak binasa.”

(Surah Al-Anbia’ : 22)

Ayat Bible:

"Sekarang tentang persoalan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak wujud. Kita juga tahu bahawa ALLAH HANYA SATU IAITU BAPA tidak ada yang lain. Sekali pun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik di syurga mahu pun yang di bumi, tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup.”

(Korintus 1 8:4-6)

Jelas! Allah hanya satu iaitu Bapa. Roh Kudus dan Jesus bukan Allah. Sungguhpun banyak lagi yang disebut “tuhan” termasuk Jesus dan Roh Kudus, tetapi Allah yang sebenar tetap satu, iaitu Bapa.

Sebagai ulangkaji, siapakah Allah Yang Satu dalam ayat di atas? Jesus ataupun Bapa?

Jawapan: ______________________

“Tetapi jika engkau berdoa, masuklah ke dalam kamarmu, tutuplah pintu dan BERDOALAH KEPADA BAPAMU yang ada di tempat tersembunyi. Maka Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan membalasnya kepadamu.

(Matius 6:6 )

Kenapa tidak berdoa terus kepada Jesus sahaja? Mengapa Bapa yang akan membalas dan bukannya Jesus?

Dalam perdebatannya dengan Dr. Anis Shorrosh di Royal Albert Hall, London pada 15 Disember 1985, Syeikh Ahmad Deedat berhujah seperti berikut:

“Anak sentiasa berada di senarai yang kedua daripada tiga. Apabila seseorang Kristian mengatakan yang Jesus adalah Bapa, maka kata-katanya itu dianggap sebagai bidaah pada pandangan gereja Kristian.”

“Menurut ajaran Kristian dan ajaran Gereja Anglikan, Methodist, Lutheran dan lain-lain bahawa mengatakan Jesus adalah Bapa dianggap sebagai bidaah.”

Jadi, jelaslah Bapa dan Jesus tidak setara.

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair adalah anak Allah”, dan orang-orang Kristian pula berkata: “Al Masih (Jesus) adalah anak Allah”. Begitulah perkataan mereka melalui mulut mereka sendiri mereka menyampaikan perkataan orang-orang kafir terdahulu, semoga Allah binasakan mereka.”

(Surah At-Taubah: 30)


Masalah “Anak Manusia”

Apabila disebut sahaja “Anak Manusia” di dalam Bible, maka umat Kristian percaya sepenuhnya itu adalah Jesus. Ini satu kesalahan. Gelaran “Anak Manusia” boleh diberikan kepada sesiapa sahaja mengikut konteks sesuatu ayat itu diucapkan. Ia tidak terhad kepada Jesus semata-mata. Tambahan pula Jesus sering menyampaikan ajarannya dalam bentuk perlambangan, bahasa yang berbunga, kiasan, madah dan sebagainya yang tidak “direct to the point”. Dia suka kata-katanya difikirkan, bukan diterima bulat-bulat.

Lihat contoh ayat Injil Matius ini sebagai bukti:

16:13 Setelah Jesus tiba di daerah Kaisarea Filipi, dia bertanya kepada murid-muridnya: "Kata orang, SIAPAKAH ANAK MANUSIA ITU?"

16:14 Jawab mereka: "Ada yang mengatakan YOHANES PEMBAPTIS, ada juga yang mengatakan ELIA dan ada pula yang mengatakan YEREMIA atau SALAH SEORANG DARIPADA PARA NABI."

16:15 Lalu Jesus bertanya kepada mereka: "Tetapi apa katamu, SIAPAKAH AKU INI?"

16:16 Maka jawab Simon Petrus: "Engkau adalah Mesias, ANAK ALLAH yang hidup!"

16:17 Kata Jesus kepadanya: "Berbahagialah engkau Simon bin Yunus sebab bukan manusia yang menyatakan itu kepadamu, melainkan BAPAKU yang di syurga.”

Umat pada zaman itu faham, gelaran “Anak Manusia” boleh digunakan kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada para nabi. Ia tidak terhad kepada Jesus. Malah Simon Petrus sendiri mengatakan Jesus “Anak Allah”, bukan “Anak Manusia” sedangkan soalan Jesus berkisar tentang “Anak Manusia”. Jesus sendiri mengakui pula “Bapaku di syurga”. Maksudnya Bapa kita adalah bapa kepada Jesus juga. Tuhan kita adalah Tuhan kepada Jesus juga.

Bukti kedua adalah ayat yang ini:

“Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya di antara orang yang hadir di sini ada yang tidak akan mati sebelum mereka melihat ANAK MANUSIA datang sebagai Raja dalam Kerajaan-Nya."

(Matius 16: 28)

Pernahkah Jesus memegang apa-apa jawatan sebagai Raja atau yang setanding dengannya? Tak ada. Dia rakyat biasa. Yang datang sebagai Raja ialah Nabi Muhammad saw. “Anak Manusia” dalam ayat ini ialah Nabi Muhammad. Jesus meramalkan ada antara mereka yang belum mati semasa Muhammad datang dan menjadi raja. Siapakah orang itu? Tidak lain ialah Jesus sendiri kerana dia diselamatkan Tuhan daripada disalib mati dan masih hidup hingga kini.

Bukti lagi:

“Kata Yesus kepada mereka: "Aku berkata kepadamu, sesungguhnya pada waktu penciptaan kembali, apabila ANAK MANUSIA bersemayam di atas takhta KEMULIAANNYA, kamu yang telah mengikut AKU, akan duduk juga di atas dua belas takhta untuk menghakimi kedua belas suku Israel.”

(Matius 19: 28)

“Anak Manusia” dalam ayat ini adalah orang selain Jesus, kerana Jesus membahasakan dirinya sebagai “aku”. Jikalau Jesus mengatakan: “ …apabila ANAK MANUSIA bersemayam di takhta kemuliaannya, kamu yang telah mengikut ANAK MANUSIA ini…” maka barulah betul “Anak Manusia “ itu Jesus. Atau dia mengatakan : “…apabila AKU bersemayam di atas takhta KEMULIAAN-KU, kamu yang mengikut AKU..” barulah Jesus yang dimaksudkan.

Siapakah “Anak Manusia” dalam ayat di atas? Yang paling layak ialah Nabi Muhammad saw. Buktinya, apabila semua manusia dibangkitkan kembali, Jesus dan para hawarinya hanya memegang jawatan hakim kepada 12 suku Bani Israel sahaja, bukan kepada seluruh umat manusia. Habis siapa yang akan menghakimi manusia-manusia lain? Tentulah para nabi. Setiap nabi akan menghakimi umat mereka sahaja. Dan umat Nabi Muhammad adalah yang terbesar, paling ramai. Dialah yang akan bersemayam di atas takhta kemuliaannya. Jesus sendiri hanya duduk di takhta yang lebih rendah, dan menjalankan tugas kecil iaitu untuk menghakimi 12 suku Israel sahaja.

Lagi bukti:

"Sekarang kita pergi ke Jerusalem dan ANAK MANUSIA akan diserahkan kepada imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, dan mereka akan menjatuhi DIA hukuman mati. Dan mereka akan menyerahkanNYA kepada bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah, supaya DIA diperolok-olokkan, disesah dan disalibkan, dan pada hari ketiga dia akan dibangkitkan."

(Matius 20: 18-19)

Sekali lagi Jesus berkias dan bermain bahasa, tidak “direct to the point”. Orang yang menggunakan fikirannya akan faham bahawa “Anak Manusia” dalam ayat ini bukanlah Jesus. Dia menyebut “Anak Manusia” sahaja dan bukannya “Anak Manusia ini”. Jesus juga menyebut “dia” atau “nya” dan bukannya “aku”. Lihat betul-betul!

Yang akan diserahkan, dijatuhi hukuman mati, diperolok-olokkan dan disalib ialah “anak manusia”, “dia” atau “nya” iaitu Judas, bukannya Jesus.

“Sebab dia (Jesus) sedang mengajar murid-muridnya. Ia berkata kepada mereka: "ANAK MANUSIA akan diserahkan ke dalam tangan manusia, dan mereka akan membunuh DIA, dan tiga hari sesudah DIA dibunuh DIA akan bangkit." Mereka (anak-anak murid Jesus) tidak mengerti perkataan itu, namun segan menanyakannya kepadanya.”

(Markus 9: 31-32)

“Anak Manusia” di sini ialah Judas, bukan Jesus. Jesus tidak mengatakan : “…dan mereka akan membunuh AKU, dan tiga hari sesudah AKU dibunuh AKU akan bangkit.” Anak-anak murid Jesus sendiri tidak pernah diberitahu yang Jesus akan dibunuh, jelas dikatakan mereka tak faham apa maksud Jesus. Para hawari sendiri kurang mahir memahami lenggok bahasa Jesus, apatah lagi umat Kristian yang terkebelakang. Untuk faham perkataan-perkataan Jesus dengan lebih tepat, anda terpaksa mempelajari Al Quran The Ultimate Testament.

Segala perkataan Jesus mestilah diperhatikan betul-betul sebab dia berbicara dalam bentuk perumpamaan, metafora, bahasa berbunga, tamsilan dan lain-lain.

“Lalu Yesus mulai berbicara kepada mereka dalam PERUMPAMAAN…”

(Markus 12: 1)

Tambah lagi:

“Sebab barangsiapa malu karena AKU (Jesus) dan karena perkataanku di tengah-tengah angkatan yang tidak setia dan berdosa ini, ANAK MANUSIAPUN AKAN MALU karena orang itu APABILA DIA DATANG KELAK dalam kemuliaan Bapanya, diiringi malaikat-malaikat kudus."

(Markus 8: 38)

Ternyata “Anak Manusia” dalam ayat ini bukan Jesus. Jesus membahasakan dirinya “aku” dan sepatutnya dia berkata : “…aku pun akan malu kerana aku ini apabila aku datang kelak…”. “Anak Manusia” dalam ayat ini ialah seorang yang akan datang kemudian daripada Jesus, datang dengan kemuliaan Tuhan (Bapa) dan bersama para malaikat. Itulah Nabi Muhammad.

“Lalu dia (Jesus) berkata kepada mereka: "Tidakkah kamu mengerti PERUMPAMAAN ini? Kalau demikian bagaimana kamu dapat memahami SEMUA PERUMPAMAAN YANG LAIN?

(Markus 4: 13)

“Itulah yang dikatakan Jesus DALAM PERUMPAMAAN kepada mereka, tetapi mereka tidak mengerti apa maksudnya dia berkata demikian kepada mereka.”

(Yohanes 10: 6)

Malangnya ada yang sengaja buat-buat tidak faham.

Bantuan Al Quran:

“Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang-orang yang tahu (faham) jika kamu tidak mengetahui (tidak memahami).”

(Surah An-Nahl: 43)


Kesimpulan

Ternyata Jesus bukan Anak Tuhan, bukan Tuhan dan bukan juga Roh Kudus.

Sesiapa sahaja yang beramal soleh boleh menjadi anak-anak Tuhan.

Jesus mengakui Bapa (Tuhan) semua orang itu adalah Bapa (Tuhan) buat dirinya juga.

Jesus sering berbicara dalam bentuk perumpamaan. Salah satu tujuannya ialah untuk mengelakkan isi ajarannya diselewengkan kesemuanya kerana perumpamaan-perumpamaan tersebut hanya dapat difahami oleh orang-orang yang datang kemudian. Ia adalah senjata yang tersimpan.

Gelaran “Anak Manusia” dalam Bible tidak terhad untuk Jesus saja, tetapi untuk individu lain juga.

No posts.
No posts.